Sunday, July 06, 2008

13,877 pelajar khatam quran


Buat julung kalinya, seramai 13,877 pelajar seluruh negeri berusia antara tujuh hingga 12 tahun berjaya menamatkan bacaan al-Quran 30 juzuk dalam usia muda di bawah program melahirkan generasi Ulul Albab.
Didikan al-Quran yang diberi seawal usia mampu menjadikan mereka generasi berilmu, berakhlak dan bertaqwa serta menjadi umat yang gemilang, kreatif dan berdaya saing di peringkat global.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian di Majlis Khatam Al-Quran Pelajar-pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) di Stadium Tertutup Gong badak, Kuala Terengganu, hari ini ( 5 Julai). Teks beliau dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato Wan Mohammad Dato Sheikh Abdul Aziz; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Sheikh Harun Ismail dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Mohd. Zulkifli Abu Bakar.
Katanya, memupuk minat mengaji al-Quran dari kecil dapat meningkatkan mutu bacaan yang betul, lancar, bertajwid dan memudahkan mereka menghafal serta memahami isi kandungan al-Quran. Kanak-kanak itu merupakan bakal ilmuan yang mampu mengeluarkan ijtihad dan menyelesaikan isu kotemporari.
“Kerajaan berhasrat semua sekolah di negeri ini menyambut baik program KAFA untuk menyemai benih kesuburan pegangan agama sejak kecil,” katanya.
Katanya, kerajaan merasa bangga apabila anak negeri ini iaitu Wan Nur Aina Nasibah Wan Abdul Rahim daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut, terpilih sebagai pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Peringkat Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, sehingga hari ini lebih 70,000 pelajar dan 3442 guru sedang mengiktui program KAFA di 887 buah premis melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat, Masjid dan Surau seluruh negeri.
“Kerajaan tidak mensia-siakan komitmen yang tinggi daripada guru-guru KAFA dan telah menaikkan elaun bulanan mereka kepada RM500 dan dalam usaha menyediakan pakej pengajaran yang berkesan mereka akan dihantar berkursus untuk mempertingkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Terdahulu Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Wan Mohammad berkata, Negeri Terengganu adalah yang tertinggi menerima peruntukan daripada Jakim di bawah KAFA iaitu RM22 juta daripada peruntukan keseluruhan RM208.9 juta tahun ini
Pada majlis hari ini seramai 5,071 pelajar dari Parlimen Kuala Terengganu (1898), Kuala Nerus (2,736), Batu Rakit (162) dan Manir (275) telah sempurna khatam secara serentak manakala bagi Parlimen Besut (2,046), Setiu (1,160) dan Marang (1569) akan diadakan pada 12 Julai depan dan Parlimen Kemaman (1,244), Dungun (1,273) dan Hulu Terengganu (1,514) pada 19 Julai.
Majlis juga telah memilih Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah (360 pelajar) dalam Parlimen Kuala Nerus dan Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu (130 pelajar) sebagai sekolah terbaik khatam al-Quran tahun ini.

dipetik dari http://www.terengganu.gov.my/ukom/berita_penuh.php?berita_kod=1702